Ahad, 22 Januari 2017

Transformasi Nasional 2050 - TN50

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada belia-belia yang telah berkongsi dengan saya, melalui emel di najib@najibrazak.com, aspirasi mereka untuk Malaysia menjelang tahun 2050. 

Walaupun masa yang diberikan kurang daripada 24 jam, maklum balas emel yang saya terima amat memberangsangkan. Banyak input telah diutarakan, merangkumi pelbagai topik seperti pendidikan, ekonomi, soal identiti serta jati diri dan lain-lain lagi.

Saya tertarik dengan idea yang dikongsi oleh Asif Khusnaini yang berharap agar persekitaran kondusif bagi start-up dapat diwujudkan bagi membantu negara mencapai ekonomi yang berdaya saing dan setanding dengan negara-negara maju.

Seorang lagi penyumbang idea, Qayyum Rahmat, juga telah berkongsi dengan saya betapa pentingnya alam sekitar dipelihara bagi memastikan pembangunan negara kekal mampan.

Ini adalah satu permulaan yang bagus dan saya tidak sabar untuk mendengar lebih banyak lagi cadangan daripada anak-anak muda kita.
TN50 atau Transformasi Nasional 2050 adalah milik kita bersama.

Proses wacana nasional yang bermula semalam dan bakal dilangsungkan sepanjang tahun ini adalah untuk anda semua berkongsi dengan kerajaan aspirasi anda untuk Malaysia.

Saya berasa gembira kerana dapat bersama dengan para belia semalam di Universiti Malaya dan mendengar sendiri aspirasi mereka. Kerajaan kita pada hari ini adalah kerajaan yang sedia mendengar dan menggunakan pendekatan bottom-up.

Insya-Allah, idea-idea yang telah diutarakan ini akan diteliti, dikaji dan diambil kira. Suara anak-anak muda kita akan didengari dan anak-anak muda akan mencorak perjalanan masa depan negara.

Dalam kita mengambil langkah demi langkah memikirkan potensi, sasaran, wawasan dan hala tuju pembangunan kita ke arah tahun 2050 kelak, ambillah peluang ini juga untuk mengimbas kembali pencapaian kita sebagai sebuah negara bangsa yang telah merdeka hampir 60 tahun.

Pelbagai rintangan dan cabaran telah berjaya kita harungi sebagai sebuah negara, sama ada dari segi politik, hubungan antara kaum atau ekonomi.

Malaysia membuktikan kepada dunia bahawa negara kita hari ini terdiri daripada masyarakat majmuk yang hidup harmoni, ekonomi dan politik negara kita stabil dan kukuh berbanding dengan negara-negara serantau yang lain. Negara kita juga mampu menyediakan pelbagai peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada anak-anak muda pada hari ini. Saya percaya dengan hala tuju yang baru yang akan ditentukan oleh para belia, kita akan terus maju dan mara ke hadapan dengan lebih cemerlang lagi, terutamanya dengan mengambil kira dan memanfaatkan perubahan dan perkembangan pesat dalam dunia teknologi.

Ingin saya tambah juga bahawa Dasar Transformasi Nasional yang saya perkenalkan pada 2010 meletakkan kita di landasan yang tepat untuk mencapai Wawasan 2020, yang hanya 3 tahun dari sekarang.

Namun, kita perlu berpandangan jauh, tidak patut leka dan terlalu khusyuk dengan pencapaian dalam masa 3 tahun ini sehinggakan ia menghalang kita daripada mengatur langkah dan bersiap sedia untuk perjalanan baru bagi Malaysia iaitu pasca 2020.

Janganlah kita politikkan inisiatif ini. Sesungguhnya diskusi dan perancangan TN50 ini penting sebagai asas untuk kita merancang proses dan gerak kerja selama tiga dekad bagi memeta hala tuju negara di atas kanvas yang baru.
Saya berpegang teguh kepada kata-kata pujangga, “A politician thinks of the next election, a statesman thinks of the next generation.”

Kepada golongan belia semua, saya sedia mendengar aspirasi anda dan saya mahukan anda semua mengambil bahagian membantu merangka masa depan anda. TN50 yang dirancang ini adalah milik anda semua.

Semoga Allah SWT sentiasa memberkati usaha kita dalam membangunkan negara yang tercinta ini.

Marilah sama-sama kita memulakan perjalanan ke arah TN50, ke arah Malaysia yang lebih cemerlang.

hwa

Tiada ulasan:

Catat Ulasan