Jelasnya, penyakit ini semakin hebat diamalkan pembangkang yang umum sedia maklum bahawa fitnah dan putar-belit memang menjadi makanan mereka.
“Pembangkang memang menghalalkan segala cara asalkan hasrat mereka untuk melihat Barisan Nasional (BN) dan UMNO tumbang berjaya.
“Apatahlagi sekarang ini media sosial menjadi pilihan utama masyarakat. Hanya dengan satu ‘click’, fitnah dan tohmahan menjadi viral dan mula meracuni fikiran rakyat.
“Pembangkang semakin agresif menabur fitnah terutama untuk mencari pengaruh kuasa dalam politik memandangkan pilihan raya umum sudah semakin hampir,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Tambah beliau, serangan demi serangan akan dicipta pembangkang bagi merosakkan kredibiliti BN dan UMNO bagi memastikan kerajaan sedia ada tumbang pada pilihan raya umum akan datang.
Jelasnya lagi, terbaru yang boleh dijadikan contoh, adalah fitnah yang mendakwa Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad berkahwin baru, sebelum ini surat layang yang cuba melaga-lagakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tersebar di media sosial.
Begitu juga dengan fitnah yang menimpa Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Zahida Zarikh Khan yang kononnya mahu meletakkan jawatan.
“Ini semua adalah perbuatan terdesak mereka yang tidak bertanggungjawab yang mahu memecah-belahkan walak dalam UMNO.
“Oleh itu, saya amat berharap rakyat khususnya ahli UMNO jangan mudah melatah dengan agenda jahat mereka ini.
“Siasat dahulu sesuatu perkara itu sebelum membuat sebarang keputusan. Jika tidak, pembangkang akan bertepuk tangan melihat kita bertelagah sesama sendiri,” ujarnya lagi.
Selain itu ulas Aziz, Perhimpunan Agung UMNO yang lalu berkemungkinan antara faktor yang menyebabkan pembangkang panas punggung apabila melihat segala usaha mereka memecah-belahkan UMNO gagal.
“Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini menjadi bukti bahawa UMNO masih utuh walau teruk diasak dan difitnah.
“Pembangkang mula menggelupur apabila melihat kesetiaan dan walak yang dilafazkan ahli UMNO untuk terus menyokong kepimpinan sedia ada.
“… sebab itulah mereka akan meningkatkan usaha menabur racun dan tuba di minda rakyat bagi memastikan UMNO rosak dan tumbang. Jadi, kita harus berhati-hati dan terus memperkukuhkan benteng menjaga parti keramat ini,” tegasnya.
– MediaUMNO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan